News

SARAWAK TERUS JADI MODEL PERPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN
Posted on : 20 Jan 2023  Source of News: UKAS News
 
 
 

KUCHING: Sarawak terus menjadi model perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian yang menghimpunkan pelbagai kaum bebas mengamalkan budaya, tradisi dan agama mereka tanpa halangan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, rakyat Sarawak amat bertuah berada di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang tegas dalam melindungi kebebasan beragama dan menolak unsur ekstremisme yang boleh menjejaskan perpaduan, keharmonian dan kestabilan negeri ini.

“Kita di Sarawak sangat menyokong antara satu sama lain terutamanya semasa perayaan, tidak kira sama ada Tahun Baru Cina, Hari Raya, Gawai, Deepavali atau Krismas.

“Ini membolehkan kita belajar tentang adat resam masing-masing dan membangunkan komuniti yang harmoni di mana semua orang hidup bersama dengan aman dan bersatu padu,” katanya.

Dato Sri Lee berkata demikian dalam amanat Tahun Baru Cina 2023 beliau, pada Jumaat.

Beliau menambah, pihak kementerian bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan mengadakan hubungan rapat dengan syarikat penerbangan untuk meningkatkan penerbangan domestik dan antarabangsa bagi memacu industri pelancongan termasuk perniagaan.

Tambahnya lagi, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyedari kesusahan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan telah menyediakan pelbagai bantuan.

Sehubungan itu, jelas Dato Sri Lee, pihak kementeriannya turut mennyalurkan bantuan sejumlah RM6.1 juta bantuan kewangan ‘one-off’ di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Dari tahun 2020 hingga 2022, kementerian saya telah memberikan sejumlah RM6.1 juta bantuan kewangan ‘one-off’ di bawah BKSS kepada pengusaha van berlesen, pengusaha bot, pemandu teksi, pengusaha bas/van sekolah, pemandu e-hailing dan tenaga pengajar sekolah memandu di Sarawak untuk meringankan beban mereka semasa tempoh pandemik COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato Sri Lee juga menegaskan kepada semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman pada musim untuk memandu dengan selamat dan sentiasa berwaspada terutamanya pada musim cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Tahun ini, pihak kementerian saya bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak (SRSC) akan terus menerapkan amalan keselamatan jalan raya yang baik.

“Keselamatan jalan raya adalah usaha bersama dan marilah kita sama-sama bekerjasama menyediakan keselamatan jalan raya yang lebih selamat sekaligus menjadi pengguna jalan raya yang beradab dan semoga semua selamat sampai ke destinasi anda.

“Saya berharap Tahun Arnab 2023 memberikan Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak kemakmuran, kekuatan dalam perpaduan, kesihatan yang baik, nasib yang baik dan keberanian untuk pulih daripada cabaran yang timbul daripada pandemik COVID-19,” katanya.

 
 
 
 UKAS News
 

Useful Links

Useful Links