28 MAC 2023, KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bagi menambah baik sektor pengangkutan di Sarawak.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, UNIMAS mempunyai langkah-langkah ke hadapan untuk menambah baik sektor pengangkutan di negeri ini dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar dan pekan utama.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai rombongan UNIMAS semasa kunjungan hormat terhadap Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di pejabat beliau pada Isnin.
Dalam kunjungan hormat tersebut, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim turut memberi taklimat kepada Dato Sri Lee mengenai kerjasama yang boleh diwujudkan antara kedua pihak dalam beberapa bidang penting.
Ujarnya, antara bidang yang berpotensi termasuk pengurusan trafik bandar, keselamatan jalan raya dan penyelidikan dalam pengangkutan dan logistik.
Selain itu, perbincangan tersebut turut menyentuh berkenaan potensi penyelidikan untuk menyelesaikan tumbuhan gondok (water hyacinth) yang menimbulkan masalah kepada sistem pengangkutan sungai di Sarawak.
Sementara itu, Dato Sri Lee menggalakkan UNIMAS untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui bagi menjana sektor pengangkutan masa hadapan yang hijau, selamat dan mampan seperti tenaga hidrogen.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Inovasi dan Penyelidikan) UNIMAS, Profesor Dr Wan Hashim dan Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik MOTS, Julin Alen.
Edisi UKAS