Sarawak Perluas Kerjasama Penerbangan dengan CAAM Selepas Penggabungan CAAM–MAVCOM

Posted on 18 Dec 2025
Source of News: https://ukas.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/30759
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak terus menggerakkan agenda pembangunan sektor penerbangan negeri apabila Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau disambut Pengerusi CAAM, Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Dato’ Captain Norazman Mahmud, bersama pengurusan kanan CAAM.

Lawatan ini turut menjadi penglibatan rasmi pertama selepas penggabungan CAAM–MAVCOM pada 1 Ogos 2025, yang membuka ruang penyelarasan tadbir urus penerbangan negara secara lebih menyeluruh.

Menurut Dato Sri Lee, pertemuan tersebut menumpukan kepada usaha memperluas kerjasama dan menyelaras keutamaan bersama, termasuk pertukaran perkembangan inisiatif semasa serta perbincangan hala tuju sektor penerbangan Malaysia yang memberi kesan langsung kepada Sarawak.

Katanya, ia meliputi operasi syarikat penerbangan, pembangunan lapangan terbang, Low Altitude Economy (LAE) serta keselamatan penerbangan.

Beliau berkata Kerajaan Sarawak mengharapkan kerjasama berterusan CAAM, khususnya bagi menyokong pembangunan dan tadbir urus sektor penerbangan Sarawak secara lebih cekap serta selamat, seiring keperluan semasa industri.

Antara tumpuan utama ialah perkara kawal selia berkaitan penubuhan AirBorneo, termasuk keperluan pensijilan, tahap kesiapsiagaan operasi serta kelulusan permulaan operasi yang selamat melibatkan Rural Air Services (RAS) dan perancangan operasi jet yang dijadual bermula pada 2026.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serta penyelarasan kawal selia bagi cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu, termasuk aspek perancangan dan keperluan teknikal yang berkaitan.

Pengerusi CAAM pula menyatakan komitmen pihaknya untuk terus memberi sokongan terhadap inisiatif penerbangan Sarawak di bawah Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Turut dibincangkan ialah penganjuran Sarawak Aviation Safety Programme dan Seminar Low Altitude Economy (LAE) yang dijadual berlangsung di Miri pada suku pertama tahun hadapan, anjuran Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan kerjasama CAAM dan Curtin University Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pematuhan peraturan, memperluas kesedaran keselamatan dalam kalangan pihak berkepentingan serta orang awam, di samping menyokong pertumbuhan LAE secara selamat dan bertanggungjawab serta membuka potensi ekonomi yang lebih luas kepada Sarawak.

Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada CAAM atas sokongan berterusan, dan menegaskan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak mengalu-alukan kerjasama dan bantuan berterusan CAAM dalam semua hal berkaitan penerbangan di negeri ini.

Dalam lawatan tersebut, Dato Sri Lee turut diiringi Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil, Penasihat Teknikal Penerbangan MOTS, Sio Yew Hua, Ketua Penerbangan MOTS, Zulkarnain Rosli serta pegawai kanan yang lain.-EDISI UKAS


Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 18 Dec 2025

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement