MIRI: Bandar raya Miri terus mengorak langkah sebagai peneraju inisiatif bandar pintar apabila menjadi bandar pertama di Malaysia melaksanakan Sistem Keutamaan Isyarat Bas (BSP) bagi perkhidmatan bas pintar, sekali gus memperkukuh agenda pengangkutan awam moden dan lestari di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan BSP itu merupakan satu pencapaian penting bukan sahaja untuk Miri malah untuk Sarawak dan negara kerana ia membuktikan bagaimana teknologi boleh diterjemahkan secara praktikal bagi meningkatkan mobiliti harian rakyat. “Pelancaran operasi BSP hari ini adalah satu mercu tanda baharu. "Ia menunjukkan bagaimana teknologi dan inovasi boleh digunakan untuk menambah baik kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran BSP di sini, hari ini.
Menurut beliau, dalam dunia yang pesat berubah, teknologi merupakan pemangkin utama kepada transformasi perkhidmatan kerajaan, kecekapan operasi dan sistem penyampaian selari dengan penekanan Premier Sarawak terhadap transformasi digital dan pembangunan mampan negeri. Mengulas isu kesesakan trafik Lee berkata, masalah itu merupakan cabaran global yang dihadapi hampir semua bandar termasuk di negara maju dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan pembinaan lebih banyak jalan raya. “Jika tidak ditangani dengan pendekatan bersepadu, kesesakan akan terus menjejaskan masa perjalanan, produktiviti, keselamatan jalan raya, penggunaan bahan api serta kualiti udara. "Justeru pengangkutan awam perlu menjadi tunjang kepada strategi mobiliti bandar yang mampan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, sistem BSP berfungsi dengan mengesan bas yang menghampiri persimpangan berlampu isyarat dan menghantar permintaan keutamaan kepada sistem trafik pintar, seterusnya melanjutkan fasa lampu hijau atau memendekkan tempoh lampu merah bagi laluan bas tersebut. “Sistem ini diintegrasikan dengan SCATS, membolehkan keutamaan diberikan kepada bas tanpa menjejaskan aliran trafik secara keseluruhan. "Selepas bas melepasi persimpangan, lampu isyarat akan kembali kepada operasi biasa,” katanya.
Lee berkata, manfaat utama BSP kepada penumpang adalah pengurangan masa menunggu, perjalanan yang lebih lancar dan ketepatan jadual yang lebih baik, selain meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengendali bas.
Sejak pengenalan 14 unit Bas Pintar di Miri pada Oktober tahun lalu melibatkan lapan laluan utama, sambutan orang ramai amat menggalakkan dengan 1,036,705 perjalanan penumpang direkodkan setakat 14 Disember 2025. “Angka ini menunjukkan peningkatan penerimaan orang ramai terhadap pengangkutan awam. "Dengan pelaksanaan BSP, penumpang akan menikmati masa ketibaan yang lebih boleh dijangka serta kurang kelewatan,” katanya. Tambah beliau, selain memberi manfaat langsung kepada pengguna, BSP turut menyokong usaha mengurangkan kesesakan dan pelepasan karbon melalui pengurangan pergerakan berhenti dan bergerak, tanpa memerlukan pembesaran jalan secara besar-besaran. “Pengalaman dan pengajaran daripada pelaksanaan di Miri akan menjadi asas kepada peluasan sistem ini ke bandar-bandar lain di Sarawak pada masa depan,” tambah beliau. Sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 tahun depan, beliau menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperkukuh pengangkutan awam melalui pelaburan infrastruktur, penggunaan teknologi pintar dan kerjasama erat semua pihak demi manfaat rakyat Sarawak.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua Pengangkutan Darat dan Logistik Kementerian Pengangkutan Sarawak Chong Chi Fam, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili, Ketua Cawangan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Miri Elizebeth Mayang Thomas, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri Stephen Ung Neng Hui serta Pengarah Urusan KTT Sdn Bhd Chan Hua Kheng. oleh Clare Cinderella