KUCHING: AirAsia menyediakan penerbangan tambahan untuk laluan ke Sarawak bagi tempoh seminggu sebelum dan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pegawai Hal Ehwal Sarawak AirAsia Berhad Hamdan Mohamad memberitahu, ia melibatkan penerbangan pada tengah malam bagi laluan antara Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri.
“Walaupun sekarang sudah menghampiri saat terakhir, namun, mungkin ada lagi tiket penerbangan yang masih boleh dibeli dengan harga terjangkau.
“Kita juga mempunyai tiket untuk penerbangan pada tengah malam. Kalau terjumpa tiket penerbangan yang berharga sekitar RM199, dapatkannya untuk perjalanan pergi ke kampung halaman dan balik ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Sesi Iftar AirAsia Bersama Media di sini pada malam Rabu.
Sementara itu, Hamdan turut menasihati agar masyarakat membuat perancangan teliti bagi melancarkan urusan penerbangan masing-masing.
“Bagi mereka yang ingin membawa banyak barang, tempahkan tiket penerbangan terus bersama pakej bagasi yang mencukupi untuk mengelakkan isu ‘offload’.
“Datang awal ke lapangan terbang bagi memastikan setiap urusan berjalan lancar,” katanya lagi.
Program berbuka puasa tersebut yang diadakan selepas sekian lama semenjak penularan wabak COVID-19 telah dimeriahkan dengan kehadiran lebih kurang 50 jemputan yang terdiri daripada pengamal media cetak dan elektronik, pengamal media sosial, pempengaruh tempatan dan juga wakil agensi kerajaan.
Turut hadir, Timbalan Presiden II Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) Jacqueline David dan Pengerusi Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Ronnie Teo.