picture

News

 

KERAJAAN PERSEKUTUAN SETUJU PENUBUHAN SYARIKAT PENERBANGAN SARAWAK

Posted on 18 Apr 2023
Source of News: Edisi UKAS
 

KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan Butik.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyokong keputusan itu dan akan membincangkan dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan esok. 

“Saya setuju dan perkara ini antara yang dibincangkan kelak. Saya berdialog dengan mahasiswa di UiTM Shah Alam baru-baru ini, perkara itu juga yang diperlukan terutama di Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Memang kita bersetuju bahawa kos itu terlalu tinggi,”katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Raia Hotel & Convention Centre Kuching dan Majlis Berbuka Puasa bersama Asnaf & Anak Yatim di Kuching pada Isnin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memuji kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah membawa Sarawak ke depan dalam sistem pengangkutan hijau dan teknologi hidrogen. 

“Sarawak yang mendepani dalam banyak hal seperti pengangkutan elektrik, gas dan hidrogen. Saya berterima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari di atas kepimpinan dan pasukan beliau yang harus menjadi contoh bagaimana pengurusan kerajaan negeri yang ada kerana jika pengurusan negeri lemah, ia akan membebankan bukan sahaja kerajaan Persekutuan, malah rakyat amnya,” ujar beliau. 

Terdahulu, ketika berucap di dalam majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menzahirkan harapan agar kerajaan Persekutuan dapat meluluskan penubuhan syarikat penerbangan butik tersebut.

Menurutnya, penubuhan syarikat penerbangan itu bertujuan untuk menstabilkan harga tambang penerbangan ke negeri itu yang tinggi.

“Kita (Sarawak) di kepulauan Borneo, orang datang ke sini perlu menggunakan kapal terbang, mereka tidak dapat guna cara lain tetapi kadar tambang mahal.

“Kita sebenarnya tidak mahu bersaing (dengan syarikat penerbangan lain) tetapi hanya mahu stabilkan kadar tambang. Kadar tambang Kuala Lumpur ke Kuching sama seperti Kuala Lumpur ke Hong Kong. Kerajaan negeri sudah bersedia untuk melabur dalam syarikat penerbangan,” katanya. 

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah, Timbalan-timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Persekutuan Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengerusi UJ Property Management Sdn Bhd, Dato’ Othman Semail dan tetamu jemputan lain.



Edisi UKAS


Copyright ©2020 Sarawak Government
Last Updated On 22 Mar 2024

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm & 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am & 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement