Tegasnya, ia bagi membolehkan rakyat Sarawak dan Sabah terutamanya di Semenanjung Malaysia bagi menikmati tambang rendah atau murah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Penerbangan tambahan dengan tambang rendah dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan Sabah perlu dilaksanakan sebelum akhir Mei dan awal Jun ini untuk sambutan perayaan Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan.
“Syarikat penerbangan harus melaksanakan ini sama seperti yang mereka lakukan pada sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
“Saya turut menerima keluhan daripada masyarakat setempat dan juga rakan-rakan sekitar Sarawak dan Sabah mengenai harga tambang penerbangan yang tinggi tersebut terutamanya untuk musim Gawai dan Kaamatan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Menurut Chiew, harga tambang setiap syarikat penerbangan akan meningkat dengan mendadak ekoran permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan turut meningkat.
“Justeru, keadaan tersebut menjadi lebih mencabar bagi Hari Gawai dan Pesta Kaamatan ini apabila bertembung dengan cuti persekolahan dari 27 Mei hingga 4 Jun 2023.
“Seperti yang kita sedia maklum, ramai rakyat Sarawak dan Sabah yang bekerja di Lembah Klang dan Johor. Harga tiket penerbangan yang tinggi pasti akan membebankan mereka kerana kos sara hidup di negara kita juga tinggi ketika ini,” katanya.
Tambah Chiew, beliau juga akan berhubung dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk membincangkan satu mekanisme yang tetap bagi membantu rakyat Sarawak dan Sabah dalam menangani masalah kos tambang penerbangan yang tinggi terutamanya pada setiap perayaan.