News

 

KERAJAAN SARAWAK SENTIASA PASTIKAN SISTEM PENGANGKUTAN SUNGAI SELAMAT, SELESA

Posted on 04 May 2023
Source of News: Edisi UKAS
 
 

LIMBANG: Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memastikan sistem pengangkutan sungai selamat dan selesa. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, antara usaha yang dilaksanakan termasuk mengadakan program kesedaran yang menekankan aspek keselamatan dan kebersihan sungai.

“Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai ini merupakan inisiatif, komitmen dan usaha berterusan kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) untuk meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya aspek keselamatan di sungai dan memelihara kebersihan sungai serta persekitarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Terminal Express Limbang pada Rabu. 

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menyarankan agar jambatan  pontun berdekatan Dermaga Kastam Limbang dinaiktaraf dan diselenggara dengan baik memandangkan keadaan terkininya kurang selamat untuk digunakan. 

Selain itu, beliau menyeru agar masyarakat setempat dan pengusaha perniagaan di tebingan sungai tidak membuang sisa buangan, sisa domestik dan sampah sarap ke dalam sungai kerana ia penting sebagai punca rezeki nelayan, habitat hidupan laut serta tarikan industri pelancongan. 

Dalam program sama, 44 pengusaha Bot Penambang Limbang dibawah seliaan Persatuan Bot Penambang Limbang telah berjaya mendapatkan permit bagi mengusahakan bot penambang masing-masing. 

Justeru itu, Dato Sri Lee berharap pengusaha bot penambang ini mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh kementeriannya untuk menjamin keselamatan diri dan penumpang. 

Pada program tersebut, turut berlangsung simbolik penyerahan jaket keselamatan dan tinjauan menaiki bot ke Jambatan Haji Omar Ali Saifuddien dan Persempadanan Sungai Malaysia/Brunei Darussalam. 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Henry Harry Jinep, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap MOTS Dato Ir. Alice Jawan Empaling, Pemangku Pengawal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Lt. Kol. (Bersara) Ding Tiew Wong, wakil Residen Bahagian Limbang Ayunni Tamimi, wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Sobree Damit dan Pengerusi Persatuan Bot Penambang Limbang Abdul Rahim Ramli.



Edisi UKAS


Copyright ©2020 Sarawak Government
Last Updated On 03 Dec 2024

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm & 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am & 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
image Polls
image Announcement