picture

News

 

SARAWAK AMBIL ALIH MASWINGS UNTUK PACU EKONOMI, MUDAHKAN KEMASUKAN PELABUR ASING - ABANG JOHARI

Posted on 20 Jul 2023
Source of News: TVS


 

KUCHING, 20 Julai: Usaha Kerajaan Sarawak membangunkan sektor pengangkutan udaranya menerusi pengambilalihan MASWings bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, langkah berkenaan dilakukan dengan penubuhan perkhidmatan syarikat penerbangan berkonsep boutique airlines menerusi pengambilalihan berkenaan.

Kata Abang Johari, syarikat penerbangan yang diuruskan oleh Sarawak itu penting bagi menarik lebih banyak pelabur asing ke sini selain memenuhi keperluan rakyat Sarawak.

“Sarawak mempunyai banyak kelebihan yang unik dan penting untuk komuniti perniagaan dan para pelabur luar.

“Dalam hal ini, mengambil alih syarikat penerbangan (sentiasa berdepan risiko) mungkin rugi atau untung namun kita sentiasa boleh mencari peluang (baharu) yang mampu merangsang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (Rural Air Services – RAS) antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Dato Sri Lee Kim Shin mewakili Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Abang Johari berkata, kemudahan pengangkutan yang disediakan dengan lebih meluas akan menarik kemasukan pelabur asing.

“Seperti yang sedia maklum, kita (Sarawak) mempunyai tenaga boleh diperbaharui (yang menyebabkan) pelaburan masuk, oleh itu kita perlu sediakan kesalinghubung membabitkan laluan udara,” jelas beliau.

Berkongsi ‘kesukaran’ dihadapi oleh pelabur asing untuk ‘masuk’ ke Sarawak, Abang Johari berkata, sebelum ini pelbagai rungutan telah disuarakan oleh komuniti perniagaan berkenaan.

“Kita mempunyai pelabur Korea Selatan yang mahu melabur di sini. Mereka maklumkan terpaksa pergi ke Singapura, tidur semalaman dan baharu terbang ke sini.

“Kalau diikutkan, jarak Kuching ke Seoul hanya lima jam penerbangan kerana Pulau Borneo lebih dekat dengan Korea Selatan. Situasi ini turut dihadapi pelabur Jepun,” katanya.

Sehubungan itu tegas Abang Johari, langkah pengambilalihan ini sangat penting kerana turut memanfaatkan rakyat tempatan yang bergantung kepada pengangkutan udara.

Ke arah pengambilalihan itu pula kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak meletakkan dua syarat utama untuk menjayakan transaksi berkenaan.

“Yang pertamanya, mestilah bebas liabiliti dan syarikat penerbangan ini diberi hak untuk tawarkan perkhidmatan merentasi (pasaran) Sabah dan Sarawak,” katanya.




TVS


Copyright ©2020 Sarawak Government
Last Updated On 22 Mar 2024

Operating Hours

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm & 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am & 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holiday
Counter Closed
picture Polls
picture Announcement