KUCHING: Kerajaan Sarawak kini dalam proses merangka perjanjian baharu bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) apabila perjanjian sedia ada antara MASwings dan Kerajaan Persekutuan tamat pada 31 Disember 2025.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kementeriannya sedang giat berunding dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kesinambungan subsidi dan pelaksanaan RAS di bawah pengurusan syarikat penerbangan baharu negeri, AirBorneo Holdings Sdn. Bhd.
Beliau menegaskan bahawa rundingan itu juga penting untuk memastikan AirBorneo sebagai operator baharu mendapat sokongan persekutuan dari segi subsidi dan laluan yang diliputi.
“Kita perlu menyusun semula terma dan syarat perjanjian baharu bagi memastikan tiada gangguan terhadap ketersambungan udara ke kawasan luar bandar, khususnya di Sarawak dan Sabah,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
Mengulas perkembangan penubuhan AirBorneo, Dato Sri Lee berkata proses pengambilalihan MASwings daripada Malaysia Aviation Group (MAG) dijangka selesai sepenuhnya pada 31 Disember 2025.
Jelasnya, ini susulan termeterainya perjanjian jual beli antara kedua-dua pihak pada Februari lalu.
“Kita masih dalam tempoh peralihan yang melibatkan pematuhan kepada syarat-syarat tertentu termasuk kelulusan pengawalseliaan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), serta badan antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA),” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa rangkaian dan kekerapan penerbangan sedia ada tidak akan terjejas sepanjang proses peralihan ini.
“Bagi menjamin kelancaran operasi, kesemua kakitangan MASwings akan diserap masuk ke dalam AirBorneo.
“Ini bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil dan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan kepada pengguna, terutamanya di kawasan pedalaman yang amat bergantung kepada perkhidmatan udara.
“Langkah ini penting untuk memastikan kesinambungan dan kebolehpercayaan operasi sebelum dan selepas AirBorneo mengambil alih sepenuhnya,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS