Cadangan naik taraf Lapangan Terbang Miri dalam proses penilaian kejuruteraan

Posted on 29 Jul 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/07/28/cadangan-naik-taraf-lapangan-terbang-miri-dalam-proses-penilaian-kejuruteraan

MIRI: Cadangan projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri (LTM) bernilai RM445 juta sedang melalui proses penilaian kejuruteraan sebagai persediaan meningkatkan kapasitinya, kecekapan operasi serta keupayaan menampung pertumbuhan trafik penumpang dan perkhidmatan udara pada masa hadapan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh LTM sebagai pintu masuk utama penerbangan ke utara Sarawak yang menyokong pergerakan penumpang, sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi serantau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi libat urus bersama pihak pengurusan LTM dan pegawai Bahagian Penerbangan Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi meninjau kemajuan projek-projek naik taraf di bawah Program Perbelanjaan Modal (Capex) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil, Pengurus baharu LTM Mohd Zabidi Abdullah, Ketua Bahagian Penerbangan Kementerian Pengangkutan Sarawak Dayang Nurhayati Abang Ahmad dan Penasihat Teknikal Penerbangan Kementerian Pengangkutan Sarawak Sio Yew Hua.

Menurut Lee, beberapa projek telah siap dilaksanakan, termasuk kerja menaik taraf tandas awam pada 27 April lalu dan kaunter daftar masuk pada 30 Mei.

Katanya, kerja menaik taraf Ruang Istirehat VIP pula dijadual siap pada 1 Ogos ini, manakala pembinaan kira-kira dua kilometer pagar keselamatan baharu di perimeter lapangan terbang disasarkan siap menjelang 30 September.

Selain itu beliau berkata, tender bagi penggantian sistem Airfield Ground Lighting sedia ada kepada sistem LED moden telah dilaksanakan dan dijangka meningkatkan kebolehpercayaan operasi bagi keselamatan pergerakan pesawat.

Dalam pada itu, Lee turut mencadangkan pembinaan sebuah gudang kargo khusus di LTM bagi meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, menyokong pergerakan barangan bernilai tinggi dan sensitif terhadap masa, membantu industri tempatan serta pengeksport, selain mengukuhkan kedudukan Miri sebagai hab logistik dan pengedaran bagi utara Sarawak serta wilayah berhampiran.

Beliau turut menekankan keperluan segera menaik taraf atau membangunkan semula kemudahan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS), khususnya bangunan sedia ada yang kini berada dalam keadaan uzur.

Dalam pada itu, Lee turut merakamkan penghargaan kepada MAHB dan pihak pengurusan LTM atas kerjasama serta komitmen mereka dalam melaksanakan projek-projek naik taraf tersebut.

Kredit: Clare Cinderella, Utusan Borneon Sarawak 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 03 Aug 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement