Penamaan stesen pertama ART The NorthBank IBRACO satu lagi pencapaian KUTS

Posted on 03 Aug 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/01/penamaan-stesen-pertama-art-the-northbank-ibraco-satu-lagi-pencapaian-kuts

KUCHING: Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting menerusi pemeteraian Perjanjian Hak Penamaan Stesen pertama yang menyaksikan Stesen ART SM07 di The NorthBank, Stutong secara rasmi dinamakan The NorthBank IBRACO.

Majlis pertukaran perjanjian tersebut antara Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Ts Mazli Mustaffa dan Pengarah Urusan Kumpulan IBRACO Berhad Datuk Chew Chiaw Han telah disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam ucapannya, Abang Johari berkata pelaksanaan hak penamaan stesen merupakan pendekatan komersial progresif yang diamalkan di bandar-bandar utama dunia bagi menjana pendapatan bukan tambang untuk menyokong operasi sistem pengangkutan awam.

"Sistem pengangkutan awam moden tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kutipan tambang, sebaliknya turut memperoleh hasil melalui pengiklanan, ruang niaga, pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta hak penamaan stesen.

"Setiap ringgit yang dijana menerusi kerjasama komersial ini akan mengukuhkan kelestarian kewangan ekosistem KUTS, namun kerajaan tetap akan memberi subsidi kerana pengangkutan awam adalah untuk kepentingan rakyat," ujarnya.

Tambah Abang Johari, keputusan kerajaan membangunkan KUTS sebelum ini menerima pelbagai kritikan termasuk melibatkan kos yang tinggi, namun ia merupakan risiko yang perlu diambil bagi merealisasikan hasrat menjadikan Kuching sebuah bandar moden, mesra rakyat dan mampan.

Katanya, selain hak penamaan stesen, pembangunan TOD, pengiklanan serta pertumbuhan sektor pelancongan akan menjadi sumber pendapatan tambahan yang membantu memperkukuh sistem pengangkutan awam tersebut.

Mengulas teknologi yang digunakan, Abang Johari berkata penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga bagi Autonomous Rapid Transit (ART) membuktikan Sarawak berada di landasan yang tepat dalam pembangunan tenaga hijau.

Malah katanya, teknologi pengeluaran hidrogen kini semakin maju dan akan menyokong operasi ART yang senyap, bebas asap serta lebih mesra alam.

Menurutnya lagi, sistem ART akan dilengkapi teknologi moden termasuk pembayaran tanpa tunai menggunakan kod QR, kamera keselamatan pintar yang boleh dipantau ibu bapa menerusi telefon pintar serta jadual perjalanan yang lebih tepat, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan penumpang.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Program Hak Penamaan Stesen mencerminkan perancangan perniagaan yang berpandangan jauh serta mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa dalam memastikan kemampanan jangka panjang KUTS.

Beliau berkata, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, Sarawak Metro bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembinaan infrastruktur, malah turut mewujudkan peluang pendapatan baharu menerusi kerjasama strategik dengan sektor swasta.

Lee turut mengucapkan tahniah kepada IBRACO Berhad kerana menjadi rakan strategik pertama program berkenaan, sekali gus membuktikan keyakinan sektor swasta terhadap potensi jangka panjang sistem pengangkutan awam Sarawak.

Dalam pada itu, Sarawak Metro menerusi satu kenyataan berkata, Program Hak Penamaan Stesen membolehkan organisasi mengaitkan nama korporat atau jenama mereka dengan stesen ART terpilih bagi tempoh kontrak tertentu, sambil mengekalkan identiti lokasi stesen untuk memudahkan pengecaman penumpang.

Syarikat yang menyertai program itu katanya, turut berpeluang menikmati pendedahan jenama melalui papan tanda stesen, sistem arah, bahan promosi rasmi serta kerjasama dalam kempen pemasaran dan program komuniti, sekali gus mewujudkan manfaat bersama kepada operator dan rakan strategik.

Kredit: Agnes Tugong, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 03 Aug 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement