KUCHING: Loji Pengeluaran Hidrogen Peringkat 1 di Depoh Rembus yang bakal membekalkan tenaga kepada Sistem Autonomous Rapid Transit (ART) bagi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) kini sedang dibangunkan mengikut jadual.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau sendiri meninjau perkembangan projek di Rembus hari ini sebelum menghadiri majlis pemeteraian hak penamaan stesen KUTS di The NorthBank Stutong di sini.
Menurut beliau, loji berkenaan akan menghasilkan hidrogen hijau sebagai sumber tenaga kepada ART, sekali gus membuktikan Sarawak berada di landasan tepat dalam pembangunan teknologi tenaga bersih.
"Saya baru dari Rembus dan melihat sendiri pengeluaran hidrogen berjalan mengikut jadual. Hidrogen inilah yang akan menggerakkan ART kita," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Hak Penamaan Stesen ART SM07 antara Sarawak Metro Sdn Bhd dan IBRACO Berhad.
Menerusi pemeteraian perjanjian itu, stesen ART SM07 yang terletak di The NorthBank Stutong secara rasmi dinamakan The NorthBank IBRACO.
Beliau berkata, penggunaan hidrogen menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kerana kenderaan beroperasi tanpa bunyi enjin serta tidak mengeluarkan asap.
Katanya, walaupun usaha memperkenalkan hidrogen sebelum ini menerima kritikan kerana dianggap teknologinya belum matang, perkembangan global kini menunjukkan semakin banyak negara beralih kepada tenaga alternatif rendah karbon.
Malah katanya, pengalaman Sarawak dalam pembangunan ekonomi hidrogen menyebabkan beliau sering dijemput berkongsi mengenai teknologi tersebut di pelbagai negara termasuk Poland, Perancis, Indonesia dan Thailand.
Abang Johari berkata, kos pengeluaran hidrogen juga semakin menurun hasil kemunculan teknologi baharu, sekali gus meningkatkan daya maju penggunaannya dalam sektor pengangkutan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan Loji Pengeluaran Hidrogen Peringkat 1 di Depoh Rembus merupakan komponen penting dalam keseluruhan ekosistem KUTS.
Beliau berkata, kemudahan itu mampu menghasilkan sehingga satu tan hidrogen hijau sehari bagi menyokong operasi perintis serta permulaan perkhidmatan ART.
"Projek KUTS kini terus menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan kerja pembinaan jajaran, stesen, depoh dan sistem sokongan bergerak mengikut perancangan.
"Ketibaan serta pemasangan dua tren ART pertama di Kuching baru-baru ini turut menjadi satu lagi pencapaian penting ke arah penyepaduan sistem dan persediaan operasi," katanya.
Tambah Lee, fokus kerajaan kini adalah memastikan semua infrastruktur, sistem, kenderaan serta keperluan operasi berada pada tahap kesiapsiagaan bagi membolehkan operasi perintis dijalankan dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai.
Beliau menegaskan pembangunan loji hidrogen dan ART membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sistem pengangkutan awam moden berasaskan teknologi hijau yang mampu meningkatkan ketersambungan serta kualiti hidup rakyat di Greater Kuching.
Kredit: Agnes Tugong, Utusan Borneo 2026