Kerajaan rancang perkenal pakej bersepadu AirBorneo dan ART: Abang Johari

Posted on 03 Aug 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/01/kerajaan-rancang-perkenal-pakej-bersepadu-airborneo-dan-art-abang-johari
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang memperkenalkan pakej perjalanan bersepadu yang menggabungkan tambang penerbangan AirBorneo dan perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART) untuk kemudahan pengguna terutama pelancong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu sedang diperhalusi menerusi kerjasama antara AirBorneo dan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) bagi menawarkan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan mudah kepada pelancong.

Menurut beliau, menerusi pakej tersebut, pelancong hanya perlu membeli satu tiket yang merangkumi tambang penerbangan AirBorneo dan tambang ART sehingga ke destinasi akhir.

"Sebagai contoh, pelancong yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuching hanya perlu membeli satu pakej yang merangkumi tambang penerbangan dan tambang ART ke hotel mereka kerana kebanyakan hotel terletak berhampiran stesen ART.

"Begitu juga bagi mereka yang datang mendapatkan rawatan di hospital berhampiran stesen ART, kos perjalanan menggunakan ART boleh digabungkan bersama tambang penerbangan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Hak Penamaan Stesen ART SM07 The NorthBank IBRACO di The NorthBank, Stutong, hari ini.

Tambah Abang Johari, cadangan itu bukan sahaja memudahkan pelancong, malah memberi jaminan keselamatan kerana setiap tren ART akan dilengkapi kamera pemantauan yang disambungkan ke Pusat Kawalan Operasi di Depoh Rembus.

Katanya, sistem itu membolehkan perjalanan penumpang dipantau secara berterusan sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna pengangkutan awam.

Selain itu, beliau berkata pakej bersepadu berkenaan turut mengelakkan sebarang unsur penipuan terhadap pelancong kerana keseluruhan kos perjalanan telah dibayar lebih awal ketika membeli tiket.

Mengulas mengenai kadar tambang ART, Abang Johari berkata kerajaan masih belum memuktamadkan jumlahnya, namun memberi jaminan ia akan ditawarkan pada kadar mampu milik kerana perkhidmatan pengangkutan awam akan menerima subsidi kerajaan.

"Di mana-mana negara, sistem pengangkutan awam memerlukan subsidi kerajaan kerana tambang yang rendah tidak mampu menampung keseluruhan kos operasi.

"Kita mahu lebih ramai rakyat dan pelancong menggunakan ART supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuching. Saya berharap tambangnya dapat ditawarkan pada kadar yang lebih rendah berbanding kadar biasa di tempat lain," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Abang Johari memaklumkan kerajaan merancang mengintegrasikan perkhidmatan AirBorneo dengan ART melalui satu pakej perjalanan yang membolehkan penumpang meneruskan perjalanan dari lapangan terbang ke hotel menggunakan ART tanpa perlu membuat bayaran berasingan.

Kredit: Agnes Tugong, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 03 Aug 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement