LUBOK ANTU: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) memohon Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mempercepatkan kelulusan pembukaan laluan bas rentas sempadan Kuching-Putussibau, Kalimantan Barat melalui ICQS Lubok Antu–Nanga Badau.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, semua pihak berkaitan termasuk agensi Kerajaan Malaysia dan Indonesia serta pengendali bas telah menyatakan kesiapsiagaan untuk melaksanakan perkhidmatan itu sebaik sahaja kelulusan diperoleh.
Katanya, kementerian akan mengemukakan surat rasmi kepada MOT bagi memohon supaya proses kelulusan dapat disegerakan demi membolehkan laluan tersebut dibuka dalam masa terdekat.
"Semua pihak telah bersedia. Justeru, kita berharap proses kelulusan dapat dipercepatkan supaya laluan ini dapat dibuka secepat mungkin demi memberikan kemudahan pengangkutan yang lebih baik kepada rakyat di kedua-dua wilayah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ICQS Lubok Antu semalam bagi meninjau kesiapsiagaan kemudahan serta menilai cadangan pembukaan laluan bas rentas sempadan berkenaan.
Menurut Lee, laluan baharu itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Sarawak dan Kalimantan Barat, di samping merancakkan sektor pelancongan, pelancongan perubatan, perdagangan serta aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang dikongsikan Konsul Republik Indonesia di Kuching Musa Derek Sairwona, perjalanan darat dari Putussibau ke Pontianak kini mengambil masa kira-kira 20 jam.
Bagaimanapun katanya, sekiranya laluan melalui ICQS Lubok Antu–Nanga Badau dan seterusnya ICQS Tebedu–Entikong dimanfaatkan, tempoh perjalanan dijangka dapat dipendekkan lebih daripada separuh sekali gus menawarkan perjalanan yang lebih pantas dan efisien.
Dalam pada itu, Lee berkata pembukaan laluan tersebut turut berpotensi mengukuhkan kedudukan Kuching sebagai hab transit serantau yang menghubungkan rangkaian pengangkutan udara dan darat antara Sarawak dan Indonesia.
Katanya, kewujudan penerbangan terus Kuching-Jakarta serta penyertaan AirBorneo pada masa depan akan mewujudkan ekosistem pengangkutan yang lebih bersepadu, membolehkan penumpang dari Indonesia meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Manakala penumpang dari Kuching boleh meneruskan perjalanan ke Kalimantan menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan.
Lee turut memaklumkan dua syarikat pengendali bas, iaitu Biaramas Express dari Sarawak dan DAMRI dari Indonesia, telah bersedia memulakan operasi sebaik sahaja semua kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan diperoleh.
Kredit: Agnes Tugong, Utusan Borneo 2026