Jerebu, paras sungai rendah ancam keselamatan perjalanan di sungai: Lee

Posted on 01 Sep 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/31/jerebu-paras-sungai-rendah-ancam-keselamatan-perjalanan-di-sungai-lee

MIRI: Jerebu yang mengehadkan jarak penglihatan, diburukkan lagi paras air sungai semakin rendah, kini menjadi ancaman berganda terhadap keselamatan pengangkutan sungai di Sarawak susulan cuaca kering berpanjangan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keadaan itu mewujudkan situasi pelayaran yang semakin mencabar, sekali gus memerlukan semua pengguna sungai meningkatkan tahap kewaspadaan dan tidak mengambil sebarang risiko yang boleh mengancam nyawa.

Menurutnya, keselamatan penumpang, nakhoda, pengendali bot, anak kapal, masyarakat di sepanjang sungai serta pengguna sungai lain mesti menjadi keutamaan dalam keadaan semasa.

“Gabungan jarak penglihatan yang terhad dan paras air sungai rendah menimbulkan risiko besar terhadap keselamatan pelayaran.

“Jerebu boleh menjejaskan keupayaan pengendali kapal dan bot untuk melihat serta bertindak tepat pada masanya terhadap kapal yang menghampiri, tebing sungai, bahaya pelayaran dan halangan tenggelam,” katanya di sini, hari ini.

Lee berkata, penurunan paras air sungai pula meningkatkan risiko kapal dan bot terkandas atau terlanggar objek tenggelam, selain mengehadkan keupayaan untuk melakukan pergerakan atau manuver dengan selamat.

Katanya, risiko berkenaan lebih tinggi ketika melalui bahagian sungai yang sempit, cetek, sesak dan berliku.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengendali kapal dan bot, nakhoda serta jurumudi supaya menjadikan aspek keselamatan sebagai pertimbangan utama sebelum memutuskan untuk meneruskan perjalanan.

“Jika keadaan tidak selamat, jangan teruskan perjalanan. Jika keadaan bertambah buruk ketika dalam perjalanan, ambil tindakan segera dan sewajarnya bagi melindungi penumpang dan anak kapal,” tegasnya.

Bagi perjalanan yang penting dan tidak dapat dielakkan, Lee menasihati pengguna sungai supaya terlebih dahulu menyemak bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan nasihat rasmi berkaitan jerebu yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Mereka juga perlu menilai tahap penglihatan, keadaan cuaca dan sungai sebelum bertolak serta sentiasa peka terhadap sebarang perubahan keadaan sepanjang perjalanan.

Pengendali bot dan kapal turut diminta mengurangkan kelajuan mengikut kesesuaian keadaan semasa serta memastikan pemantauan dan pemerhatian dilakukan secara berterusan.

“Selain itu, lampu navigasi, peralatan komunikasi dan semua kelengkapan keselamatan penting hendaklah dipastikan berada dalam keadaan baik dan berfungsi sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Lee turut mengingatkan pengguna supaya meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan sungai sempit, cetek, sesak atau berliku serta sentiasa berwaspada terhadap objek tenggelam yang mungkin tidak kelihatan akibat paras air rendah.

Pada masa sama, semua arahan dan panduan keselamatan dikeluarkan Pegawai Pengangkutan Sungai hendaklah dipatuhi sepenuhnya.

Menurutnya, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah mengeluarkan Notis Sungai kepada pelaut, pengguna sungai dan orang awam pada 23 Ogos lalu susulan keadaan semasa.

Notis itu menasihati pengguna sungai supaya lebih berhati-hati, mengurangkan kelajuan dan jika boleh, menangguhkan perjalanan sungai yang tidak penting sehingga keadaan kembali bertambah baik.

Lee berkata beliau sudah mengarahkan agensi berkaitan termasuk LSS supaya terus memantau keadaan sungai dengan teliti dan bersedia mengeluarkan nasihat keselamatan tambahan atau mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan semakin buruk.

“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

"Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan, tetapi setiap pengguna sungai juga mempunyai peranan penting dalam mencegah kemalangan, perlanggaran dan kejadian bot atau kapal terkandas.

“Tiada perjalanan yang lebih penting daripada keselamatan nyawa manusia.

"Justeru, semua pengguna sungai perlu terus berwaspada, mengikuti perkembangan keadaan terkini dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Kredit: Clare Cinderella, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 01 Sep 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement