Kerajaan Persekutuan lulus RM30 juta naik taraf dua STOLport di Sarawak

Posted on 01 Sep 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/08/28/kerajaan-persekutuan-lulus-rm30-juta-naik-taraf-dua-stolport-di-sarawak
KUCHING: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM30 juta untuk menaik taraf dua Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) di pedalaman Sarawak, masing-masing RM15 juta untuk Long Banga dan Ba’ Kelalan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi Dana Pembangunan Lapangan Terbang selepas perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, langkah berkenaan membuktikan pembangunan infrastruktur udara tidak hanya tertumpu kepada lapangan terbang utama, malah turut mengambil kira keperluan kawasan luar bandar.

“Baru-baru ini saya bersama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil serta pegawai Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Malaysia melawat lapangan terbang luar bandar seperti Long Banga dan Ba’ Kelalan.

“Kita tidak mahu orang hanya bercakap mengenai naik taraf lapangan terbang besar, sedangkan lapangan terbang luar bandar juga masih diperlukan,” ujarnya ketika ditemui selepas peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional ke Sarawak di Kompleks UNIFOR di sini, hari ini.

Hasbi berkata, kerja naik taraf itu dijangka melibatkan terminal serta pemanjangan landasan, tertakluk kepada keadaan dan kesesuaian kawasan berkenaan.

Katanya, pemanjangan landasan amat penting untuk membolehkan lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan udara, khususnya di kawasan pedalaman yang masih bergantung kepada penerbangan sebagai penghubung utama.

“Sekiranya landasan dapat dipanjangkan, kita boleh membawa lebih ramai penumpang kerana sekarang ini kapasiti adalah terhad, hanya sekitar sembilan orang disebabkan keadaan landasan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasbi berkata Lapangan Terbang Miri turut dirancang untuk dinaik taraf dengan kos melebihi RM400 juta.

Katanya, projek berkenaan masih dalam proses reka bentuk dan persediaan sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.

Selain itu katanya, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan lapangan terbang di kawasan lain di Sarawak termasuk projek lapangan terbang baharu di Lawas yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Hasbi turut berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak  bagi memastikan jaringan pengangkutan udara di negeri ini terus diperkukuh termasuk di kawasan pedalaman.

Kredit: Agnes Tugong, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 01 Sep 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement