Dengan rasuk terakhir itu kini dipasang, kerja seterusnya akan memberi tumpuan kepada menyiapkan jambatan berkenaan bagi membolehkan operasi perintis perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART) dilaksanakan pada penghujung tahun ini.
Jambatan itu akan menghubungkan laluan khas ART bagi Laluan Biru sepanjang 27.6 kilometer dari Rembus, Kota Samarahan ke Hikmah Exchange, Kuching, sekali gus menyediakan perhubungan yang lancar dan boleh dipercayai kepada pengguna pada masa hadapan.
Sarawak Metro menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Laluan Biru yang kini dalam pembinaan menerusi dua pakej kerja itu merangkumi 15 stesen dan merupakan sebahagian daripada Fasa 1 projek KUTS.
Pakej 1 Laluan Biru katanya, merangkumi laluan dari depoh ART Rembus ke Stesen ART Northbank-IBRACO di kawasan Northbank.
Pakej berkenaan dilaksanakan oleh syarikat usaha sama antara Ibraco Construction Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (ICJV).
Fasa 1 projek KUTS turut merangkumi dua laluan lain iaitu Laluan Merah sepanjang 12.3 kilometer dari Kuching Sentral ke Pending dan Laluan Hijau sepanjang 10.5 kilometer dari Pending ke bulatan Yayasan Sarawak di Petra Jaya.
Perkembangan itu katanya merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan infrastruktur pengangkutan, awam bandar di Kuching, dengan matlamat menyediakan sistem pengangkutan awam moden dan cekap untuk manfaat penduduk bandar serta kawasan sekitarnya.
Kredit: Utusan Borneo 2026