MIRI: Kerja penambakan tanah bagi projek Terminal Lori Miri kini mencapai kira-kira 70 peratus dan baki kerja termasuk kerja surcaj serta tempoh mendapan tanah dijangka selesai menjelang akhir Mac tahun depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan itu dilihat positif selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke tapak terminal berkenaan semalam bagi meninjau kemajuan kerja penambakan dan penyediaan tapak.
Beliau berkata, Terminal Lori Miri dicadangkan sebagai terminal lori khusus pertama seumpamanya di Sarawak bagi memenuhi keperluan industri pengangkutan barangan dan logistik yang semakin berkembang di Miri serta Sarawak Utara.
“Terminal ini amat penting kerana Miri merupakan titik transit strategik bagi pergerakan lori jarak jauh antara Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah.
“Setiap hari, dianggarkan 50 atau lebih lori jarak jauh dan 'prime mover' dari Kuching, Sibu dan Bintulu melalui Miri, dengan sebahagiannya bermalam di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei, Limbang, Lawas dan dalam sesetengah keadaan sehingga ke Sabah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, keadaan sama turut berlaku bagi perjalanan pulang apabila banyak kenderaan berkenaan bermalam di Miri sebelum meneruskan perjalanan ke Bintulu, Sibu dan Kuching.
Katanya, pertumbuhan pesat pergerakan kargo bagaimanapun belum disokong sepenuhnya oleh kemudahan infrastruktur yang mencukupi, menyebabkan sebahagian kenderaan berat terpaksa diletakkan di tepi jalan, kawasan perindustrian dan lokasi yang tidak sesuai.
“Sebahagian pemandu lori jarak jauh juga terpaksa tidur di dalam kenderaan dengan akses terhad kepada kemudahan tandas, bilik mandi, makanan dan tempat berehat yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata, terminal berkenaan dirancang sebagai kemudahan logistik bersepadu yang bukan sekadar menyediakan ruang parkir, malah merangkumi kemudahan penginapan pemandu, kedai makan, tandas, bilik mandi, ruang solat dan rehat serta perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan ringan.
Kemudahan lain yang dicadangkan termasuk perkhidmatan tayar, bateri dan mekanikal asas, tempat mencuci lori, bahan api, gudang, pengendalian kargo, kawasan memuat dan memunggah, pengendalian kontena serta treler, sistem keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV) serta kemudahan pentadbiran bagi pengusaha logistik dan pengangkutan.
Lee berkata, komponen pergudangan berpotensi menjadikan Miri sebagai pusat penggabungan dan pengedaran barangan yang lebih cekap bagi wilayah Sarawak Utara.
“Pengusaha logistik dari Kuching, Sibu dan Bintulu boleh memunggah serta menyimpan sementara barangan di terminal sebelum penghantaran dilakukan menggunakan lori lebih kecil ke Miri dan kawasan sekitarnya.
“Ini dapat mengurangkan keperluan lori jarak jauh memasuki kawasan bandar yang sesak serta meningkatkan kecekapan dan keselamatan pengedaran barangan,” katanya.
Beliau berkata, sistem penggabungan dua hala juga membolehkan barangan dari Miri dan Sarawak Utara dikumpulkan di terminal sebelum dihantar menggunakan kenderaan jarak jauh ke Bintulu, Sibu, Kuching dan kawasan lain di Sarawak.
Menurutnya, pendekatan itu berpotensi meningkatkan penggunaan kenderaan, mengurangkan perjalanan tanpa muatan, mengoptimumkan pergerakan kargo dan seterusnya membantu mengurangkan kos logistik.
Dalam pada itu kata Lee, pihaknya turut mendengar kebimbangan Persatuan Lori Miri berhubung ketiadaan laluan masuk yang sesuai dan mudah bagi lori dari arah utara, termasuk dari Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah.
“Perkara ini penting dan perlu ditangani lebih awal kerana kenderaan berat berkenaan akan melalui sebahagian Lebuh Raya Pan Borneo sebelum memasuki terminal.
“Akses yang sesuai amat penting bagi memastikan aliran trafik lancar, keselamatan jalan raya terjamin serta pergerakan kenderaan berat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) mengadakan mesyuarat penyelarasan membabitkan Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Miri (MBM), Persatuan Lori Miri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama agensi berkaitan bagi mengkaji susunan laluan masuk yang paling sesuai serta mencari penyelesaian praktikal.
Lee berkata, terminal itu perlu dirancang sebagai kemudahan moden, bersepadu dan mampu berkembang mengikut keperluan industri pada masa depan, termasuk penggunaan sistem pengurusan terminal digital, tempahan ruang parkir secara elektronik, pemantauan keselamatan, kemudahan timbang berat serta sistem pengesanan kenderaan dan pengurusan kargo.
Katanya, terminal yang dirancang dengan baik bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan jalan raya dan kebajikan pemandu, malah mengurangkan kesesakan bandar, menyokong pertumbuhan industri logistik serta mewujudkan peluang ekonomi dalam sektor pergudangan, penyelenggaraan kenderaan, makanan, pembersihan dan keselamatan.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan pihak industri dan agensi berkaitan bagi memastikan terminal ini dibangunkan dengan selamat, cekap dan memenuhi keperluan sebenar pengusaha logistik.
“Dengan perancangan yang betul, terminal ini berpotensi berkembang menjadi Hab Logistik Sarawak Utara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Miri sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan Sarawak Selatan, Sarawak Tengah, Sarawak Utara, Brunei dan Sabah,” katanya.
Turut hadir wakil Jabatan Tanah dan Survei, Majlis Bandaraya Miri, ahli jawatankuasa Persatuan Lori Miri dan wakil kontraktor.
Kredit: Steve Annuar, Utusan Borneo 2026