KUCHING: Dua memorandum persefahaman (MoU) Pengangkutan Darat BIMP-EAGA sedang disemak semula bagi menambah baik kejelasan dan penyelarasan proses pengangkutan rentas sempadan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kedua-dua MoU itu meliputi pergerakan rentas sempadan bas dan bas persiaran komersial serta transit dan pengangkutan barangan antara negeri.
Menurutnya, semakan itu tepat pada masanya susulan perubahan dalam peraturan, teknologi, amalan industri dan jangkaan pengguna.
“Objektif kita bukan semestinya untuk menjadikan setiap peraturan sama kerana setiap bidang kuasa mempunyai undang-undang dan tanggungjawab masing-masing. Apa yang perlu kita usahakan ialah kejelasan, penyelarasan, persefahaman dan kebolehramalan yang lebih baik sedapat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Operasi Rentas Sempadan Bagi Kecekapan Pengangkutan Sarawak-Brunei-Sabah dan Pembukaan Semakan MoU Pengangkutan Darat BIMP-EAGA serta Bengkel Pemegang Taruh di sebuah hotel di sini, hari ini.
Lee menambah, sekiranya terdapat perbezaan dalam keperluan, pengendali perlu memahami perbezaan tersebut dengan jelas, manakala proses yang boleh dipermudah perlu dipermudahkan.
“Jika terdapat pertindihan, kita perlu menelitinya manakala penyelarasan antara agensi perlu diperkukuh sekiranya terdapat ruang untuk berbuat demikian,” ujarnya.
Menurut Lee, penyertaan industri penting dalam semakan itu kerana pengendali pengangkutan berdepan dengan proses berkaitan setiap hari dan mengetahui kelewatan serta ketidakpastian yang berlaku.
“Oleh itu, saya menggalakkan badan kawal selia supaya mendengar pandangan industri dengan teliti manakala peserta industri disaran mengemukakan isu khusus, bukti serta cadangan praktikal.
“Kita memerlukan kedua-dua perspektif sekiranya mahu menghasilkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan di lapangan,” tegas beliau.
Mengenai Buku Panduan Operasi Rentas Sempadan Bagi Kecekapan Pengangkutan Sarawak-Brunei-Sabah yang dilancarkan semalam, Lee berkata, ia merupakan langkah pertama yang penting dalam usaha berkenaan.
Katanya, buku panduan itu menghimpunkan keperluan dan prosedur utama dalam satu rujukan praktikal bagi membantu pengendali memahami dokumen, permit, pihak berkuasa dan syarat yang terlibat dalam perjalanan rentas sempadan.
“Bagaimanapun, buku panduan ini tidak seharusnya sekadar menjadi rekod prosedur semasa. Ia perlu kekal sebagai rujukan yang berkembang seiring perubahan peraturan dan operasi,” katanya.
Sehubungan itu, Lee berkata bengkel bersama pemegang taruh selama dua hari mulai semalam, perlu menghasilkan matriks yang jelas mengenai cadangan pindaan, dasar dan pelaksanaan serta hala tuju praktikal bagi semakan kedua-dua MoU berkenaan.
“Dengan kesalinghubungan rentas sempadan yang lebih kukuh dapat memudah cara perdagangan, menggalakkan pelancongan, memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan akses kepada pasaran serta merapatkan hubungan antara komuniti di seluruh Borneo,” ujarnya.
Kredit: Marlinda Mardzuki, Utusan Borneo 2026