Sarawak sedang memajukan agenda tenaga bersih menerusi KUTS

Posted on 13 Oct 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/10/12/sarawak-sedang-memajukan-agenda-tenaga-bersih-menerusi-kuts

KUCHING: Sarawak sedang memajukan agenda tenaga bersih menerusi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), dengan pelaksanaan perintis perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen pada tahun ini sebelum diperluas sepenuhnya mulai tahun depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, laluan perintis itu akan beroperasi dari Depot Rembus di Samarahan ke Northbank di Stutong, dengan sokongan bas pengantara berkuasa hidrogen serta loji pengeluaran hidrogen di Depot Rembus.

“Di bawah inisiatif Pembiayaan Alternatif, sebanyak RM988 juta diperuntukkan tahun depan bagi meneruskan pembangunan KUTS.

“Selain itu, Belanjawan ini menyediakan RM124 juta kepada Sarawak Metro Sdn Bhd bagi menyokong operasi termasuk fasa perintis serta memastikan sistem itu bersedia sepenuhnya untuk memulakan perkhidmatan komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Bagi mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih serantau, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan memulakan kajian ke arah pembentukan rangka kerja kawal selia dan undang-undang yang lebih menyeluruh bagi pembangunan hidrogen Sarawak.

“Kerangka perundangan tersebut akan mengawal selia pembangunan industri hidrogen negeri, termasuk pengeluaran, pengedaran, penggunaan, piawaian, keselamatan dan eksport komersial,” katanya.

Beliau berkata, kerangka berkenaan akan meningkatkan keyakinan pelabur, memudah cara pembangunan industri dan mempercepat pertumbuhan ekonomi hidrogen Sarawak menerusi kejelasan perundangan serta kepastian kawal selia, selaras dengan aspirasi negeri untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, Sarawak sedang melangkah ke dalam rantaian nilai semikonduktor global menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.

Katanya, negeri ini kini beralih daripada peringkat reka bentuk serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada pengkomersialan penuh cip yang dibangunkan secara tempatan.

Tambahnya, pelan hala tuju itu dijangka membantu menarik pelaburan berbilion ringgit, mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi dan meletakkan Sarawak sebagai hab teknologi termaju serantau dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Di bawah Belanjawan ini, sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi menyokong operasi SMD Semiconductor, manakala RM8.5 juta disediakan untuk mempercepat pembangunan bakat menerusi program berasaskan industri dan kerjasama dengan kemudahan fabrikasi semikonduktor.

“Melalui kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) serta peneraju global seperti Melexis, Synopsys dan Siemens, pensijilan peringkat tinggi dalam bidang pengujian dan reka bentuk litar bersepadu kini ditawarkan bagi melahirkan graduan yang bersedia memenuhi keperluan industri semikonduktor,” katanya.

Kredit: Marlinda Mardzuki, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 13 Oct 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement