Laporan akhir siasatan nahas helikopter FDS dijangka siap dalam tempoh setahun

Posted on 20 Oct 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/10/19/laporan-akhir-siasatan-nahas-helikopter-fds-dijangka-siap-dalam-tempoh-setahun
KUCHING: Laporan akhir siasatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang yang mengorbankan lima individu pada 8 September lalu dijangka siap dalam tempoh setahun dari tarikh kejadian.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, punca nahas membabitkan helikopter Layang-Layang Aerospace (9M-LLF) itu masih belum dipastikan dengan siasatan keselamatan masih dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Katanya, ia termasuk pemeriksaan teknikal lanjut serta analisis bukti bagi mengenal pasti keadaan dan faktor yang menyumbang kepada nahas berkenaan.

Menurutnya, laporan awal siastan nahas itu telah diterbitkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) pada 16 Oktober 2026 sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri Persekutuan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia.

“Punca nahas itu masih belum dapat dipastikan dan laporan akhir dijangka disiapkan dalam tempoh setahun dari tarikh kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan perkembangan siasatan nahas berkenaan dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan  Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Nahas itu mengorbankan lima individu, terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas perubatan yang menjalankan tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman dan terpencil.

Mangsa yang terkorban, juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, Pegawai Perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Dalam pada itu, Lee berkata, tragedi itu amat menyedihkan rakyat Sarawak, terutama kerana mangsa terlibat dalam usaha menyediakan perkhidmatan perubatan penting kepada komuniti yang sukar mendapatkan akses kesihatan.

Bagi pihak kementeriannya, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.

Beliau turut menghargai bantuan serta sokongan semua agensi penyelamat dan pihak berkaitan yang terlibat dalam operasi susulan nahas itu.

“Siasatan yang sedang berjalan dijangka memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan kejadian dan faktor yang berkaitan, sebelum penemuan muktamad dimuktamadkan melalui laporan akhir,” ujarnya lagi.

Kredit: Marlinda Mardzuki, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 20 Oct 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement