Pengangkutan awam Sibu turut dimodenkan

Posted on 20 Oct 2026
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2026/10/19/pengangkutan-awam-sibu-turut-dimodenkan

KUCHING: Susulan kejayaan projek perintis perkhidmatan Bas Pintar di Miri, Sibu bakal dilengkapi dengan 13 bas elektrik pintar baharu menerusi perkhidmatan bas henti-henti percuma yang dijangka beroperasi pada suku pertama 2027.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkhidmatan itu akan meliputi kawasan bandar Sibu termasuk Sibu Jaya, Kemuyang, Ulu Sungai Merah, Rantau Panjang serta Lower dan Upper Lanang.

“Berlandaskan momentum dan usaha penambahbaikan ini, Sibu akan menjadi bandar seterusnya yang menjalani pemodenan pengangkutan awam,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lee pada sidang media menjelaskan pelaksanaan perkhidmatan itu menyusuli usaha memodenkan pengangkutan awam di Miri menerusi penggantian bas lama dengan bas baharu.

“Bas lama di Sibu akan digantikan dengan bas baharu, tetapi bas di Sibu akan menggunakan tenaga elektrik, iaitu bas sifar pelepasan,” katanya.

Dalam pada itu, Lee pada sidang DUN memaklumkan, selepas dua tahun beroperasi, perkhidmatan Bas Pintar Baharu di Miri terus menyediakan kemudahan pengangkutan awam menerusi 14 bas yang beroperasi di lapan laluan.

Katanya, perkhidmatan itu merekodkan lebih 1.82 juta penumpang setakat September 2026, dengan purata 83,075 penumpang sebulan dari Januari hingga September tahun ini.

“Pencapaian ini mencerminkan peningkatan keyakinan dan penerimaan masyarakat Miri terhadap pengangkutan awam,” katanya.

Sementara itu, perkhidmatan Bas.MY di Kuching katanya, yang dilaksanakan menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan Sarawak, telah membawa lebih 1.29 juta penumpang setakat September 2026 sejak dilancarkan pada Mac 2025.

Lee berkata perkhidmatan itu menggunakan 56 bas baharu merentasi 13 laluan, dengan purata 82,204 penumpang sebulan pada 2026.

Kredit: Hafizah Abdul Hamid, Utusan Borneo 2026



Copyright © 2020 Sarawak Government
Last Updated On 20 Oct 2026

OPERATING HOURS

Monday - Thursday
8:00 am to 1:00 pm, 2:00 pm to 5:00 pm

Friday
8:00 am to 11:45 am, 2:15 pm to 5:00 pm

Saturday, Sunday & Public Holidays
Closed

image Polls
image Announcement