KUCHING: Kapasiti pengendalian penumpang Lapangan Terbang Miri (LTM) dijangka meningkat daripada dua juta kepada empat juta penumpang setahun menerusi projek naik taraf dengan siling peruntukan RM445 juta.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, proses tender projek itu sedang berjalan selepas proses Value Engineering selesai pada Ogos lalu.
“Proses tender sedang berjalan, dengan pembinaan disasarkan bermula pada suku kedua tahun 2027 dan dijangka siap menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap menyampaikan ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Selain meningkatkan kapasiti penumpang, projek itu turut merangkumi penambahbaikan kemudahan dan keupayaan operasi lapangan terbang berkenaan.
Lee menambah, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) selaku agensi pelaksana akan turut menerapkan identiti budaya dan warisan etnik Sarawak dalam reka bentuk lapangan terbang itu, di samping memastikan pematuhan terhadap piawaian moden serta keperluan operasi lapangan terbang.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Sarawak turut merancang pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA) di Tanjung Embang sebagai hab penerbangan moden, pintar dan mampan yang dilengkapi kemudahan digital, logistik pintar serta fasiliti aeroangkasa.
Pembangunan ini katanya, dirancang untuk merangkumi pemprosesan penumpang yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI), kargo dan logistik pintar, teknologi digital, serta kemudahan aeroangkasa.
Ia sekali gus katanya, mempromosikan sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan, dan pembangunan bakat bagi memperkukuh industri penerbangan Sarawak.
“Kementerian saya telah mengemukakan Airport Development Request pada 26 Mei 2026 kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk kelulusan, selaras dengan peruntukan-peruntukan yang berkaitan dalam Akta Penerbangan Awam 1969,” katanya.
Sementara itu, Lee memaklumkan kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek naik taraf STOLport Long Banga dan Ba’kelalan bagi pelaksanaan pada 2027 menerusi Dana Pembangunan Lapangan Terbang (Airport Development Fund – ADF).
“Kerja naik taraf itu merangkumi penambahbaikan kemudahan terminal serta, jika bersesuaian dengan keadaan tapak dan penilaian teknikal, penambahbaikan atau pemanjangan landasan bagi meningkatkan keupayaan operasi, keselamatan penerbangan dan hubungan udara bagi komuniti luar bandar,” katanya.
Lee turut mendedahkan bahawa projek naik taraf Lapangan Terbang Limbang, STOLport Bario serta cadangan pembangunan Lapangan Terbang Lawas dan STOLport Bebuling sedang berjalan mengikut jadual.
Kredit: Hafizah Abdul Hamid, Utusan Borneo 2026