Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, syarikat penerbangan itu sedang menunggu kelulusan berkenaan sebelum memulakan perkhidmatan yang dijangka beroperasi tiga kali seminggu.
“Sebaik sahaja kita mendapat kelulusan, kita akan memulakan penerbangan ke Jakarta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurut Lee, laluan Kuching-Jakarta akan melengkapkan hubungan udara terus Sarawak dengan tiga ibu kota di rantau ini, iaitu Jakarta, Kuala Lumpur dan Singapura.
“Tambang bagi laluan antarabangsa ini akan menggunakan sistem penetapan harga dinamik, manakala penerbangan domestik akan terus menggunakan sistem tambang tetap,” katanya.
Terdahulu Lee dalam ucapan penggulungannya berkata, AirBorneo yang mula beroperasi pada 1 Januari 2026 merupakan pencapaian penting dalam perkembangan industri penerbangan Sarawak, sekali gus membolehkan negeri ini menerajui agenda perhubungan udaranya sendiri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Jelasnya, AirBorneo memulakan perkhidmatan penerbangan jet berjadual antara Kuching dengan Kuala Lumpur pada 20 Julai 2026, dengan dua penerbangan sehari, diikuti perkhidmatan Kuching-Singapura pada 22 Julai 2026 yang menandakan laluan antarabangsa pertamanya.
“Kedua-dua laluan itu menawarkan perkhidmatan penerbangan penuh menggunakan pesawat Boeing 737-800, dengan kabin Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi serta hidangan istimewa Sarawak disajikan dalam penerbangan.
“Justeru, saya berbesar hati memaklumkan bahawa AirBorneo telah melepasi pencapaian membawa lebih 50,000 penumpang, ketika operasi penerbangan jet komersialnya menghampiri 100 hari pertama perkhidmatan.
“Perkembangan awal ini menunjukkan petunjuk yang menggalakkan terhadap permintaan bagi perkhidmatan penerbangan terus dari dan ke Sarawak, selain mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri,” kata beliau.
Pada 2027, Lee memaklumkan, AirBorneo turut merancang memperkenalkan laluan komersial tambahan yang menghubungkan Kuching dengan bandar-bandar utama lain di Sarawak serta Kota Kinabalu, tertakluk kepada ketersediaan pesawat dan permintaan penumpang.
Syarikat penerbangan itu katanya, berkemungkinan menerima pesawat tambahan pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, manakala laluan yang akan dikendalikan menggunakan pesawat berkenaan masih dalam penelitian.
Malah katanya, AirBorneo telah mengesahkan tempahan bagi lapan pesawat baharu ATR72-600, dengan hak pembelian empat pesawat tambahan bagi memperkukuh Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
“Pesawat berkenaan dijadualkan dihantar antara 2027 hingga 2029,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Lee merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM209 juta dalam Belanjawan 2027 bagi meneruskan RAS.
Katanya, keutamaan Kerajaan Sarawak adalah memastikan perkhidmatan udara luar bandar dapat beroperasi secara mampan dalam jangka panjang, sekali gus menyediakan hubungan pengangkutan udara yang boleh dipercayai kepada masyarakat pedalaman di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Kredit: Marlinda Mardzuki, Utusan Borneo 2026